Sepetang di Hida Takayama

Ada satu petang yang bagus di mana Pohon Sakura melepaskan daun-daun luruh di perkarangan istana Shiroyama. Aku duduk tenang atas satu kerusi kayu lipat di satu sudut taman istana melemparkan seni-seni alam dalam sehelai kertas. Satu fenomena yang bersifat sentimental seperti di permulaan babak drama Korea.

Angin petang bertiup tak kurang bagus nya. Helaian rambut yang menutup muka sebelah kanan aku melayang perlahan ke sebelah kiri. Lalu aku pun selitkan ke telinga kemas.

Rambut aku ini jika tidak seperti  Legolas pun, ada sikit macam gambar model kat atas kotak minyak wangi kebanyakan.

Penguasaan kertas melalui lukisan aku sangat baik. Setiap inci kertas digunakan sebaik mungkin. Lakaran pokok dan kanak-kanak bermain di sebuah taman istana ketika musim luruh kelihatan hidup dan sungguh bersemangat. Seolah sekeping gambar dari lensa kamera berjenama Nikon. Satu pun tidak aku lepas dari terlihat.

Manakala, di sudut jam satu ada seorang kanak-kanak menikmati ais kacang sejuk. Giginya tidak tersusun rapi, ada hitam ada kuning serta sikit sikit nampak gusi. Sekaligus menegaskan bahawa, budak ini suka pada makanan manis dan mak bapaknya jenis rilek tak patut kasi saja anak dia makan apa.

Tinggi juga susunan ais,sirap,cendol dan kacang dalam mangkuk kanak-kanak tersebut. Kalau tak kena gaya, boleh berantakan ais dan segala isi nya dikacau sudu.

Kanak-kanak itu sungguh gembira. Dicuit sikit demi sedikit ais krim kuning di permukaan atas sekali dan disuap laju ke dalam mulut. Aku tenung sambil buat muka M. Nasir tetapi sedikit sebanyak menegup juga air liur kelazatan.

Kerana terlalu ketar kepala dengan ais krim tadi, ais kacang itu benar-benar berantakan. Bentuknya yang tadi membukit telah pecah ke seluruh pelusuk mangkuk.
"Ala, dah pecah! ais krim banyak lagi," kata kanak-kanak itu penuh kecewa.

Aku hanya tersenyum nipis sambil berdetik "Kau masih hijau soal ais kacang, budak kecil. Belajar dan belajarlah." Ketika itu juga rambut aku yang terselit rapi sedari tadi, kembali mengurai menutup wajah.

Lalu aku pun sambung melukis dengan penuh gaya dan bertenaga.








3 comments:

Anonymous said...

Mau menangis kalau M.Nasir baca ni!

Danial Jaafar 🇲🇾 said...

aku suka nama blog ni. "jarang tulis hal serius", sekaligus menunjukkan sisi serius anda yang jarang dipertontonkan kepada ramai.

Anonymous said...

hahahaha. lawak laaaa.

Post a Comment

ha komen, komen!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...