Pohon di tengah lalang

Dan aku berjalan dari suatu tempat yang jauh. Meredah sungai kecil, mengepak ranting halus. Masa berganti masa, hari berganti hari. Terik bukan kepalang, sejuk mengigit tulang. Malam dan siang tiada beza. Aku terus berjalan.

Lalu aku berhenti di satu hentian. Tanah lapang, menghijau. Lalang tumbuh sekerat lutut. Pohon renek tumbuh liar menjauh. Di satu sudut di tengah itu, terpacak pohon entah apa nama besar berdiri. Aku berlindung di balik bayang pohon.

Aku menjenguk dari pangkal menuju ke pucuk. Aku kira setinggi pohon kelapa biasa. Dari batang pokok menebal melebar ke sayap dahan. Lalu berpecah hingga ke ranting. Berselerat daun-daun hijau di hujung tangan pokok.

Batangnya tumbuh gagah menegak. Kukuh memasak tanah. Lalu semakin rapuh menyusur ke dahan dan lemah di hujung ranting. Ranting, isinya sama saja dari batang di tengah. Mempunyai zat yang sama, namun zahirnya lemah tidak bermaya. Di sana, ranting bersimpang siur, bersilang tumbuh antara mereka.

Ada antara nya berpaut sesama ranting dan ada yang menjauhi sesama ranting. Aku mengerti.

Aku mengalih muka melihat batang nya. Satu keras berdiri. Tidak menjauh dan tidak berpaut. Ia lebar dari segala ranting yang ada. Walau ditabrak kuat, ia masih mampu menahan. Sulit untuk dimamah.

Lalu aku merenung jauh. Melihat ke belakang. Dan mereka berdiri. Ramai.

Ramai seperti ranting banyak yang bertebaran di sisi pohon tadi. Mereka seolah lupa kepada yang Empunya diri. Lupa kepada yang Satu berdiri dengan sendiri.

Seolah ranting yang meninggalkan batang, terbit dari dahan. Isinya sama, namun zahirnya lemah. Walau ramai, mereka rapuh. Walau ramai, mereka saling berjauhan. Mujur masih ada yang saling mendekati.

Yang mendekati, memohon simpati dan yang menjauhi, membenci sesama sendiri.

Di setiap susur ranting, pelbagai bentuk terbentuk.

Dan di setiap persimpangan insan, pelbagai suara bergema.

Entah bila segalanya mungkin reda.

Jika mereka sedar, sebesar pohon tadi hanya bermula dengan sekecil benih di tanah.



0 comments:

Post a Comment

ha komen, komen!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...