Pohon di tengah lalang

Dan aku berjalan dari suatu tempat yang jauh. Meredah sungai kecil, mengepak ranting halus. Masa berganti masa, hari berganti hari. Terik bukan kepalang, sejuk mengigit tulang. Malam dan siang tiada beza. Aku terus berjalan.

Lalu aku berhenti di satu hentian. Tanah lapang, menghijau. Lalang tumbuh sekerat lutut. Pohon renek tumbuh liar menjauh. Di satu sudut di tengah itu, terpacak pohon entah apa nama besar berdiri. Aku berlindung di balik bayang pohon.

Aku menjenguk dari pangkal menuju ke pucuk. Aku kira setinggi pohon kelapa biasa. Dari batang pokok menebal melebar ke sayap dahan. Lalu berpecah hingga ke ranting. Berselerat daun-daun hijau di hujung tangan pokok.

Batangnya tumbuh gagah menegak. Kukuh memasak tanah. Lalu semakin rapuh menyusur ke dahan dan lemah di hujung ranting. Ranting, isinya sama saja dari batang di tengah. Mempunyai zat yang sama, namun zahirnya lemah tidak bermaya. Di sana, ranting bersimpang siur, bersilang tumbuh antara mereka.

Ada antara nya berpaut sesama ranting dan ada yang menjauhi sesama ranting. Aku mengerti.

Aku mengalih muka melihat batang nya. Satu keras berdiri. Tidak menjauh dan tidak berpaut. Ia lebar dari segala ranting yang ada. Walau ditabrak kuat, ia masih mampu menahan. Sulit untuk dimamah.

Lalu aku merenung jauh. Melihat ke belakang. Dan mereka berdiri. Ramai.

Ramai seperti ranting banyak yang bertebaran di sisi pohon tadi. Mereka seolah lupa kepada yang Empunya diri. Lupa kepada yang Satu berdiri dengan sendiri.

Seolah ranting yang meninggalkan batang, terbit dari dahan. Isinya sama, namun zahirnya lemah. Walau ramai, mereka rapuh. Walau ramai, mereka saling berjauhan. Mujur masih ada yang saling mendekati.

Yang mendekati, memohon simpati dan yang menjauhi, membenci sesama sendiri.

Di setiap susur ranting, pelbagai bentuk terbentuk.

Dan di setiap persimpangan insan, pelbagai suara bergema.

Entah bila segalanya mungkin reda.

Jika mereka sedar, sebesar pohon tadi hanya bermula dengan sekecil benih di tanah.



Read Users' Comments ( 0 )

Jaya Jusko

Dalam hiruk pikuk pengunjung Jusco Cheras Selatan, aku berjalan mendabik dada. Dari pintu depan terus menuju ke bahagian sos pelbagai aneka. Aku mencari sos hitam pedas. Rare tak patut.

Boleh tahan ekon Jusco hujan-hujan ni. Entah juruteknik mana setting. Tak reti nak kasi turun sikit. Pasang kipas pun dah orait.

Aku merenung dari satu tingkat rak ke satu tingkat berlainan. Sambil jari aku di dagu, memang gaya berader habis.

Raga kelabu masih belum berisi. Aku naik segan. Meruncit apa nama kalau satu benda pun tak beli. Dari segan aku naik berbulu pula kes tak jumpa sos hitam pedas.

Tak apa. Aku tenang. Aku tarik nafas tiga empat kali. Okay sekali lagi aku check satu satu.

Pundek. Tak jumpa juga.

Pap, troli beroda melanggar sisi kanan. Troli beroda biasa aku tak pakai. Selalu scene famili saja pakai troli beroda. Mana boleh aku pakai. Mana aku nak letak muka kalau makwe Guardian nampak aku bawak troli beroda. Lu pikir sikit.

Dalam troli beroda tadi ada sorang budak. Aku target umur dia dalam tiga empat tahun macam tu sebab kalau dah 17 tahun mesti dia dah pergi tengok wayang. Buat apa duduk dalam raga troli lagi, amacam?

Budak tu menangis kejap kejap berenti kejap kejap menangis. Aku pun pandang sama budak tu. Aku senyum sikit. Mak budak tu perasan aku pandang sama baby dia.

"Ha, diam. Nanti abang tu makan awak. Diam" Ringkas cakap mak budak tu.

Lalu aku meluru laju ke tandas. 20 minit aku tenung muka aku depan cermin basuh tangan.



Read Users' Comments ( 2 )

Rindu

Apa kau dengar teriak tawa sang malam
Memanggil dingin. Menyebut nama Mu. Dan Engkau memanggil. Kembali. Ah aku rindu. Rindu ku rindu Mu



Read Users' Comments ( 0 )

Tenggelam

Aku melihat dari ribuan mimpi dan hidup hari ini.
Lalu aku bertanya pada diri.
Apa ini realiti?

Aku mencari dari dasar mimpi.
Aku mencari dari dasar hidup hari ini
Aku mencari dari dasar imaginasi
Lalu dilihat intinya hanya sebuah seni.

Ukiran mimpi tidak jadi realiti.
Dan realiti bukan hidup hari ini.
Hanya ukiran dari tinta Hakiki.
Ukiran si Pengukir makna sejati.

Dari mana aku datang ke situ aku kembali.
Mari. Mari.
Serahkan diri.

3.29 pagi
Jalan Balakong, 20 November









Read Users' Comments ( 0 )

Di pangkal kekasih.

Petang tadi hujan baru sahaja reda. Jaco Van Dormael berjalan menyeberang jalan Pantai Road. Dingin petang seusai hujan menampar pipi. Sejuk yang tidak sangat. Jaco Van Dormael menyeluk kocek jeans lusuh koyak peha Levi's Big E. Meraba sebatang rokok Dunhill.

"Selagi manusia pakai akal, segalanya harus tidak selesai" bisik hati kecil Jaco Van Dormael. Lalu mengguris mancis, menyala api kecil di hujung putung.

Petang Jumaat begini selalunya ramai pasangan cinta mengarang nafsu di tepi pantai. Mabuk cinta.

Jaco Van Dormael melihat di kanannya ada sepasang lelaki dan gadis genit berseluar merah. Ketat di peha,elok di betis. Bercangkerama di dasar batu yang menimbun. Di kirinya tumbuh pohon Rhu separuh banggunan sekolah empat tingkat.

Jaco Van Dormael memandang jauh ke hujung laut. Membawanya ke sempadan langit petang. Di jam sebelas, deretan banggunan tinggi dan rendah dilitupi awan mendung, Georgetown. Jaco Van Dormael menghembus asap rokok perlahan.

Matanya yang sedari tadi terpaku di hujung laut, membawa hampir ke pesisir pantai. Lautan luas, hijau, damai ronanya. Ada sesekali hijaunya pekat.

Ombak menghayun perlahan sekali sekala menghempap batu pantai. Mengheret ranting dan dedaun mati kembali ke perut ombak. Lalu timbul buih buih jernih seketika cuma lalu menghilang.

Bara rokok giat membakar. Meratah isi tembakau, menolak asap bebas dari penjara gulung. Jaco Van Dormael menjentik jauh rokok di jari kiri.

Setelah itu, Ombak kecil, buih buih jernih, hijau laut menyepi di mata Jaco Van Dormael meninggalkan air. Gagah banggunan melangit, rendang rhu membuka turut terkikis.

Hanya terasa cinta dan nafsu si pasangan muda di kanannya. Segala lukisan alam mencair dititis air hakiki.

Tidak lama, nafsu serta cinta Jaco Van Dormael juga mati dan akhirnya dia tenggelam oleh terangnya sinar kekasih hati.








Read Users' Comments ( 0 )

komuniti hijab

Setelah makan tahun aku perhati, corak dan bentuk pemakaian tudung kian bercambah. Gaya persembahan tudung giat dipertontokan. Aku pun mencari jalan penyelesaian hampir mutlak bagi meletak titik noktah untuk panorama ini.

Kalau tidak aku, mungkin ada kalian di luar sana boleh menerbitkan satu kitab muktabar berkenaan setail tudung. Kitab ini boleh menjadi kompilasi dari segala ikatan tudung yang diceduk dari facebook, instagram mahupun youtube.

Sedikit nukilan dari pelopor-pelopor gaya tudung tanah air dan juga antarabangsa diselitkan sebagai prakata di helaian hadapan agar kitab itu lebih kick dari segala segi.

Semoga dengan terbitnya kitab muktabar hal ehwal tudung ini, diharapkan tiada lagi wajah wajah mekap terang, maskara menghitam, merah pipi menyala dan gincu bibir menebal memenuhi ruang media sosial semasa menyampaikan kuliah pemakaian tudung.







Read Users' Comments ( 1 )

Sepetang di Hida Takayama

Ada satu petang yang bagus di mana Pohon Sakura melepaskan daun-daun luruh di perkarangan istana Shiroyama. Aku duduk tenang atas satu kerusi kayu lipat di satu sudut taman istana melemparkan seni-seni alam dalam sehelai kertas. Satu fenomena yang bersifat sentimental seperti di permulaan babak drama Korea.

Angin petang bertiup tak kurang bagus nya. Helaian rambut yang menutup muka sebelah kanan aku melayang perlahan ke sebelah kiri. Lalu aku pun selitkan ke telinga kemas.

Rambut aku ini jika tidak seperti  Legolas pun, ada sikit macam gambar model kat atas kotak minyak wangi kebanyakan.

Penguasaan kertas melalui lukisan aku sangat baik. Setiap inci kertas digunakan sebaik mungkin. Lakaran pokok dan kanak-kanak bermain di sebuah taman istana ketika musim luruh kelihatan hidup dan sungguh bersemangat. Seolah sekeping gambar dari lensa kamera berjenama Nikon. Satu pun tidak aku lepas dari terlihat.

Manakala, di sudut jam satu ada seorang kanak-kanak menikmati ais kacang sejuk. Giginya tidak tersusun rapi, ada hitam ada kuning serta sikit sikit nampak gusi. Sekaligus menegaskan bahawa, budak ini suka pada makanan manis dan mak bapaknya jenis rilek tak patut kasi saja anak dia makan apa.

Tinggi juga susunan ais,sirap,cendol dan kacang dalam mangkuk kanak-kanak tersebut. Kalau tak kena gaya, boleh berantakan ais dan segala isi nya dikacau sudu.

Kanak-kanak itu sungguh gembira. Dicuit sikit demi sedikit ais krim kuning di permukaan atas sekali dan disuap laju ke dalam mulut. Aku tenung sambil buat muka M. Nasir tetapi sedikit sebanyak menegup juga air liur kelazatan.

Kerana terlalu ketar kepala dengan ais krim tadi, ais kacang itu benar-benar berantakan. Bentuknya yang tadi membukit telah pecah ke seluruh pelusuk mangkuk.
"Ala, dah pecah! ais krim banyak lagi," kata kanak-kanak itu penuh kecewa.

Aku hanya tersenyum nipis sambil berdetik "Kau masih hijau soal ais kacang, budak kecil. Belajar dan belajarlah." Ketika itu juga rambut aku yang terselit rapi sedari tadi, kembali mengurai menutup wajah.

Lalu aku pun sambung melukis dengan penuh gaya dan bertenaga.








Read Users' Comments ( 3 )

interpretasi muhaddas

Lima pagi Kipas berbisik
sumbang
Sejuk menggigit
ketar
Pergi Jangan kembali
Datang
wahai hakiki.

Jalan Balakong, Oktober 2013.



Read Users' Comments ( 0 )

intipati tiga pagi

Biar kaput wayang semalam Lalu didendang cerita yang pudar Biar lesap pelita yang malap Lalu di tayang cahaya gemerlap

Dalam berjaga ada gelecoknya Jatuh terpalit lumpur di tanah Ku bangun bilas menghilang Lalu dilihat jalannya kelam

Apa yang di mahu kan lagi Yang terjadi telah pun jadi Renung saja dan langkah ke depan Tinggal jejak tiada dipandang

Ku kikis luka di dalam Hingga terjilat isi nan segar Ditampal kulit pedih pun hilang Agar terpadam salah dan dendam

Jalan Balakong, Oktober 2013



Read Users' Comments ( 1 )

Berjalan mencari rasa

Jauh berjalan di lembah berbatu,
Tiada menahu bilakah waktu,
Pandanglah cermin musnahlah daku,
Karam tenggelam di lautan satu.

-2 Ogos 2013



Read Users' Comments ( 0 )

Melihat diri

"Dalam tenang air di kali 
ku cari yang abadi
ku lihat ia bukan lagi cinta dan benci
perlahan seolah debu ia pergi
berjalan laju di urat dan sendi
lalu segalanya mati
di genggaman ilahi"

- 23 September 2013



Read Users' Comments ( 0 )

Siri Bercakap dengan Paul Hassan

Dalam sibuk memikirkan strategi melawan kerajaan dalam edisi pilihan raya akan datang, aku masih lagi sempat mengisi masa lain dengan pelbagai aktiviti yang tak kurang hebat kick nya.

Setakat ini, pekena borak sama makwe tak kenal di pesbuk adalah aktiviti yang kick nya di tangga pertama.

Nak dijadikan cerita,

Ketenangan melayan keasyikan pesbuk di satu petang diragut oleh kelibat seorang rakan aku bernama Paul Hassan. Dalam angin kipas yang sedang bertiup bagus, Paul Hassan berjalan berat sebelah sambil memegang satu plastik merah di tangan kiri. Raut wajah macam baru lepas dengar lagu Mentera Semerah Padi. Serius tak patut gayanya.

"Amboi, kau beli apa Paul?" tanya aku sambil melihat bungkusan plastik tadi.

"Jenahak merah," dan terus berjalan ke dapur.

"Kau nak buat apa Jenahak merah tu?" tanya aku seraya kembali fokus ke skrin komputer.

"Nak buat bini," jawabnya dengan tiada adab seorang melayu.



Read Users' Comments ( 0 )

Cita-cita tumpul

Ketika aku masih di sesi persekolah normal dalam ruangan darjah tiga atau empat, aku sering menimbulkan soalan soalan runcing. Selalu nya soalan soalan yang terlangsung berlalu tanpa jawab dan aku menjadi bingung.

Aku mudah bosan setiap kali membaca buku Sains darjah empat. Buku sains darjah empat banyak membicarakan soal tumbuh-tumbuhan serta haiwan. Kerana bosan akan tumbuh-tumbuhan dan haiwan, aku berasa adalah tepat untuk terus membaca buku Sains tingkatan satu. Aku amat gemarkan bab kemandirian spesis dalam buku Sains tingkatan satu. Biasanya aku memakukan mata di bab itu lebih dari 25 minit.

Aku menjadi bertambah bingung mengambarkan aku di kelas tingkatan satu kelak. Bagimana aku ingin berdepan dengan guru saat bab ini bermula? Bagaimana pandangan orang tua aku yang tahu aku telah mempelelajari bagaimana aku lahir ke dunia? Bagaimana perasan makwe sekelas aku yang akan tahu aku lah penyebab mereka mengandung nanti? Kenapa kerajaan benarkan ini berlaku? Kenapa ustaz tidak ambil tahu akan bab ini?Tidak rasa jijikkah pembuat soalan PMR aku nanti membina soalan begini?

Bayangkan ketika seusia sembilan atau sepuluh aku sudah menerima tekanan psikologi yang maha hebat begitu. Jadi wajarlah jikalau aku pernah simpan cita-cita menjadi Perdana Menteri bila ditanya oleh Cikgu Zabedah.



Read Users' Comments ( 1 )

Warna

Di sekitar tahun 700, aku berjalan tanpa hala tuju dari persimpangan Icknield Way di England berpakaian t-shirt hitam dan berseluar jeans pendek dilipat atas paras lutut. Tiba di pertengahan jalan, aku perhatikan masyarakat di kiri kanan aku membuat muka geram dan menjerit-jerit. Mereka ramai, kira kira seramai penduduk tiga kampung.

Aku mendapati seorang kenalan aku bernama Rembrandt Van Rijm bersungguh-sungguh berucap di atas timbunan kayu setinggi 20 hasta berbentuk petak dan agak lebar. Aku menjauhinya kerana isi ucapannya betul-betul buat aku gila.

Rembrandt Van Rijm menegaskan rona kain yang dipegangnya itu adalah kelabu. Mana mungkin kelabu. Aku jelas nampak kain yang dipegang di tangan kirinya sepanjang dua hasta itu berona hitam tetapi kurang terang. Manakala yang lain menjerit jerit, "Putih tapi gelap! Putih tapi gelap!"

Bagi aku mereka semua ini bodoh. Mereka malas membaca. Mereka segan ilmu. Mereka buta seni. Itu adalah hitam tetapi kurang terang. Fakta aku sahih dan konsisten. Belum pernah aku dengar rona kelabu sepanjang hidup. Rembrandt Van Rijm gila!

***
Jika kelabu itu suatu yang benar, apakah hitam dan putih itu salah?
Jika kelabu itu sudah cukup menggilakan apa lagi kehidupan kita yang penuh warna warni.






Read Users' Comments ( 5 )

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...