Pesan Ayahcik Uda


Pada suatu petang yang damai,angin bertiup perlahan diselang seli bunyi kenderaan melepasi jalan besar, Rahim kelihatan rancak berborak dengan Ayahcik Uda. Berteman biskut jekeb gula cicah teh o panas, ada lah dalam sejam mereka di pangkin kayu.

Jika dikira penguasaan siapa lebih makan biskut jekeb,jelas Rahim jauh mendahului Ayahcik Uda. Separuh peket rasanya Rahim pulun sorang. Ayahcik Uda jenis tak bekira biskut jekeb. Biskut tu pun subsidi kerajaan bagi tempoh hari. Apalah sangat nak dikemutkan.

Sedang Rahim sibuk menguis naik biskut yang lembik dalam cawan teh o, Ayahcik Uda bersuara, 
"Him, kekgi esok luse mu ade anok jage molek la anok mu,Him. Ayohcik bukang nde Him weh, Ayohcik ni takboh la kalu buleh mu wak slek pe Ayoh cik buak. Sayang ke anok beri habih pitih tanoh mendape segale hok ade. Doh kite ingat die jenih beringat,jenih panda jage pitih. le ni mu tengok sendiri mende hok jadi".

Rahim merenung muka Ayahcik Uda. Merasakan dengan gaya tenungannya tu boleh menjadi maksud lain, Rahim mula buat angguk kepala. Nak bersuara pun tak boleh. Ada biskut jekeb melekat di celah celah gigi. Buruk rupa kalau bercakap nanti fikir Rahim.

"Dakpe Him.Mu ingat molek mende hok Ayohcik nok pesang ke mu. Mu anok sulong. Ade lagi adik adik mu. Bukan mu tahu panjang umor mane orang tua mu tu," tambah Ayahcik Uda kepada Rahim.

"Betol doh tu Ayohcik. Betol betol.Nok teh lagi dop Ayohcik?" balas Rahim sambil perlahan menuang teh o ke dalam cawan. Tidak pula Ayahcik Uda menjawab pertanyaan Rahim

"Ingat Him, biarlah kite dop beri harte ke anok anok ke adik adik kite. Dakpe. Tapi mu kene buwi adik mu,anok mu dengan ilmu.Ajor anok mu dengan ilmu,Him. Ade pitih takdop ilmu bahang di tanoh saje je kekgi. Jadi per Ayohcik la esok tua. Ingat Ayohcik pesang ni" ujar Ayahcik Uda menghabiskan kata kata.

Mata Rahim bersinar. Rahim seolah baru disuntik semangat. Rahim membuka luas dada, mendongak kepala. Rahim merasa berat di belakangnya. Bukan berat beban, tetapi berat memikul tanggungjawab. Akhirnya masih ada orang yang percaya Rahim mampu ada anak suatu hari nanti.




Read Users' Comments ( 1 )

Soal hati lelaki [sinopsis]



*Mainkan lagu untuk penghayatan yang lebih power


"Sejujur manakah kata-kata...ketika kita bertentang mata... Bolehkah aku percaya.." perlahan lagu Springs berkumandang di corong radio. Rahim mangkit malas. Meneguk baki air milo pagi di tepi katil. Suamnya masih terasa di tekak. Hujan di luar masih mencurah. Tidak selebat tadi,sekadar cukup memaksa mak Rahim mengangkat baju di ampaian.

Rahim merenung ke luar tingkap. Melihat telatah kanak kanak kampung berpesta hujan,awan yang mendung sayu seolah faham isi hati Rahim. Rahim duduk atas bangku kayu di tepi tingkap,melabuh tangan seraya menongkat dagu.

Fikiran Rahim tidak menentu. Sekali sekala terawang membayang kisah kisah lalu. Membuat Rahim senyum, murung dan bersahaja. Dulu hidup Rahim diwarnai ceria,dihiasi dengan sayang namun semuanya tidak lama. Empat tahun lebih pernah bersama bukan satu kerja mudah. Susah senang sama dirasa akhirnya Rahim pasrah yang semua sia sia.

*******
Cerita lama itu berlalu membuat Rahim tabah dan kuat. Baginya parut lama tiada lagi terasa. Lama Rahim ambil masa. Walau ada lagi yang masih bercerita, Rahim sudah biasa. "Ah,benda lama. Biasalah tu.Kahkahkah" tawa Rahim bila ada bertanya. Dua tahun cukup untuk Rahim betul betul selesa tanpa kekasih lama.Biarlah mereka yang tahu sahaja tahu bagaimana peritnya Rahim menerima ini semua.

Adat manusia selalu leka, terlupa dengan keindahan dunia,begitu juga Rahim. Hati yang dua tahun lamanya tertutup rapat mula diketuk kuat. Rahim kalah. Perlahan Rahim kembali membuka walau tidak semua,terurai juga. Maria. Gadis yang hampir empat bulan Rahim kenal. Dari laman maya sehingga mereka bersemuka. Maria juga gadis biasa,tidaklah tinggi mana,manis senyumnya dan pandai juga bergaya. Senang Maria menjinakkan Rahim.

Bagi Rahim tak mudah baginya melembutkan hati dalam usia Menjangkau 25 ini. Sebelum Maria ramai juga Rahim jumpa. Malah ada yang lebih hebat dan bergaya dari Maria. Tapi jenis Rahim bukan rupa paras dan harta menjadi ukuran. Rahim sahaja tahu kenapa dalam ramai ramai,Maria seorang sahaja berjaya.

Segala kesilapan lalu tidak lagi mahu Rahim ulangi. Biarlah Rahim memperbaiki dirinya yang lalu buat Maria. Namun Rahim sedar perjalanan mereka masih jauh. Rahim masih ada cita cita di depan dan Maria pula jenis wanita berniaga. Bagi Rahim jika boleh, biarlah mereka sama sama berjaya dalam bidang masing masing dahulu. Buat masa ini biarlah sekadar teman tapi mesra sahaja.

Hari berganti hari Maria seolah tidak sama lagi. Maria semakin menjauh. Segala kata manis Maria buat Rahim kembali tertanya tanya. Apa Maria ada niat lain sebenarnya? Apa Rahim bakal kembali merasa pahit yang pada awalnya manis sahaja? Walau tidak sama seperti dulu, sakit tetap sakit. Jenis Rahim bukan tahu duduk diam bersahaja. Rahim ada cara Rahim tersendiri.

Dan apa yang Rahim jumpa benar benar menggores luka lama. Rahim terkedu. Duduk di bangku mendengar sahaja kebenaran bersuara di telinga. Rahim diam buat seketika. Hatinya panas,darah mudanya kembali membakar. Rahim betul betul berang. Bukan marah akan kebenaran namun benci dengan semua penipuan dengan semua harapan. Baginya maaf bukan segala.

Walaupun baru di awal perkenalan, Rahim sakit ditipu. Dua kali jiwa lelakinya diuji. Dan kali ini Rahim tak akan diam. Maria yang begitu Rahim hormati rupanya pandai bermain dengan janji. Pandai Maria menabur kata kata rupanya semua dusta. Rahim sakit. Rahim pedih.

*******
"InsyaAllah,jika ada rezeki kita berjumpa lagi" itulah kata kata terakhir Rahim sebelum meninggalkan Maria yang masih tertuduk di kerusi rotan. Diam tanpa kata. Sekali sekali terdengar suara lembut Maria menjelaskan hal sebenar. Rahim bangun,menyarung kasut dan melangkah pergi. Segala kusut di dada telah Rahim luahkan. Maria dengar. Maria tahu. Tapi Rahim tak tahu apakah Maria faham semua. Apakah Maria belajar apa kesilapan Maria.

Berat kaki Rahim melangkah pergi. Bukan ingin menghina mahupun menurut sahaja kata hatinya kepada Maria. Bagi Rahim yang benar selalunya pahit. Seolah ubat yang pahit namun akhirnya menyembuhkan.

Tak siapa yang tahu apa Rahim rasakan. Maria yang selalu ada untuk Rahim saban hari bakal hilang. Rahim masih menyimpan harapan yang hanya Rahim sahaja tahu. Harapan yang Rahim simpan untuk dirinya buat Maria. Jangan mudah melatah. Jangan memberi harapan jika diri masih ragu ragu. Apa guna sebuah perhubungan jika diri belum pasti bersedia.

Maria belum benar-benar faham erti setia dan pengorbanan. Masih jauh untuk Maria atau Rahim membuat keputusan. Apa yang lebihnya Rahim di sini, dia ada kesetiaan. Kesetiaan yang di bawa dari episod dahulu dan kekal bersamanya hingga ke hari ini. Maria masih muda,dan Rahim masih mengejar cita cita. Dua haluan berbeza walau penamatnya sama. Masing masing ingin berjaya.

Biarlah masa menjadi saksi kini. Apa yang terjadi sudah terjadi. Dan jika besok Rahim bertemu Maria lagi,segalanya mungkin tidak lagi sama. Mungkin ada rasa yang lebih kuat lagi antara mereka atau mungkin rasa itu telah pergi,rasa itu telah mati.

*******
- Mane gua nak cari cendol pulut. Jenuh dua hari menulis cerita Rahim. Ni kalau buat drama macam boleh pergi jauh.





Read Users' Comments ( 3 )

Kisah Ragbi Sujak

Suspek berdiri di kiri
Permainan masih diteruskan. Setakat ini perlawanan sudah berlangsung hampir ke separuh masa pertama. Khairul Hisham masih semangat. Dari bangku sekolah,Khairul Hisham terkenal dengan tekel yang power. Tak ramai anak muda sekarang sekering dia. Jika sebut sahaja pasal tekel skorpion,semua mata tertumpu pada Khairul Hisham. Namun dia sedar,apalah nilai tekel skorpion jika bab tekel makwe pun masih hijau.

Dengan tidak padan pendek, pergerakan Khairul Hisham jelas kelihatan dari sudut tepi padang. Dari satu tekel ke satu tekel berikutnya. Begitulah Khairul Hisham. Tak mengira saiz badan,siapa datang dia hadap. Berpegang teguh pada prinsip "Kalau tekel orang biar sampai konkusi otak", dia mampu lakukannya.

Kelihatan seorang pemain ragbi pihak lawan menerpa ke arah dia. Khairul Hisham tidak mudah panik. Dia tahu dia sudah baca ayat kursi,dia tahu dia sudah bismillah 21 kali sebelum ke padang. Namun, dia tak bagitahu mak dia,dia pergi main ragbi. Itu masalahnya. Manakala, pemain tadi rakus menuju ke arah dia dengan wajah tanpa sedikit belas kasihan.

Khairul Hisham tunduk, lantas mencapai buku lali pemain tadi. Di cengkamnya rapat dan diangkat melepasi paras kepala. Dia berjaya. Pemain tadi jatuh bergulingan. Mungkin boleh sampai ke tahap ingin menjerit kesakitan. Tapi atas sebab menutup rasa malu, pemain tadi jatuh dan mendiamkan diri sahaja. Lantas pemain lain dari pihak lawan datang membantu. Khairul Hisham kesorangan di bawah pemain pemain lain. Sorang sorang dan tersenyum. Aneh bukan?

Khairul Hisham bingkas bangun. Keadaan masih terkawal walau ada bunyi bunyi bersorak tepi padang. Ada yang menjerit keriangan,ada juga yang menangis tak pasal pasal. Khairul Hisham terasa ada cecair panas mengalir dari hidung. Jenis dia biarlah kena tinggal bas, tak ajak pergi makan, kalah snooker dengan Hafizul Yusof  mahupun tidur luar rumah dia tak kesah. Tapi pasal darah, itu dia kalah.

Perlahan dia berlari menuju ke medik tepi padang,sambil memejam mata dan menutup mulut. Mungkin ini padahnya kalau main ragbi tak halo mak dulu katanya pada diri sendiri. Dia mula serik dan insaf tapi segalanya sudah tertulis. Dia pasrah. Timbul rasa menyesal yang menebal kerana tidak awal awal ceburkan diri dalam ping pong atau sekadar kawad kaki 31 Ogos yang sah sah selamat dari segi fizikal dan mental. Terlambat. Nasi sudah menjadi bubur.

"Dik, bibir adik belubang ni. Ni dalam ni dik. Kena but ni. Kita jahit dulu lah ye" kata brader medik penuh tatabahasa. Dia mula cemas. Terbayang jarum,pisau,gunting,mesin MRI,doktor pakai spek muka penuh nafsu,semua seolah menanti dia. Dia negatif hal jahit jahit luka. Dia tahu dia perlu buat drama.

"Takpe bang nanti saya pergi dengan member saya. Oi Dib! Jom kita pergi hospital.Segera segera." sambil berlari menuju entah ke sapa sapa dan hilang dalam kesesakan khemah pemain pemain lain. Brader medik berdiri kaku, penuh tanda tanya dan terus jadi gila.

Moral: Main ragbi jangan sampai makan jahit sepital

- Selamat hari jadi Jak!
- Kredit Alep Si Objek Legap



Read Users' Comments ( 2 )

Pagi ini makmur


Maka diberitakan dari segenap penduduk Kulim khabar gembira. Yang suram menjadi indah,yang malap kian cerah dan begitulah seterusnya. Ada yang berpesta dan bergempita gembira bukan kepalang.

Dari pekan Kulim membawa ke Bukit Lengkok ke selatan hingga ke Anak Kulim, kaum kerabat tak kira warna kulit tersenyum riang seperti perang yang lama sudah tamat.

Dari rumah ke rumah,makcik makcik berborak sesama mereka disusuli suara suara merdu nyanyian anak muda. Begitu indah pagi ini bermula.Golongan lelaki pula tidak mengira usia begitu semangat ingin bekerja. Mereka seolah maklum hari ini hari bermakna. Seolah hari merdeka,hari yang lebih baik dari seribu hari sebelumnya.

Anak anak muda kembali berlari ke sekolah. Bermandi peluh bukan peluh keringat. Tidak diendahkan lencun baju asalkan mereka tahu hari ini seolah hari raya.

Dan tidak ada apa lagi yang benar benar menggembirakan hari mereka pagi ini. Lama mereka menanti,ada yang putus asa menunggu ada yang sudah dijemput Ilahi kerana lama sangat menanti. Menanti hari ini tiba. Dan akhirnya terbukti sudah terkabul segala janji.

Janji yang gua mangkit pagi. Ya,benar gua berjaya menyedut udara pagi hari ini. Bangun pagi dan terus bersarapan di kedai Mak Ngah Ti.




Read Users' Comments ( 4 )

Kisah dari gerabak R4

Gua bersama seorang brader topi khakis dan pakcik tua berjaket hitam sedang sedap pekena milo panas diselang seli hembusan asap pekat rokok ke dalam ruang gerabak. Bukan senang nak berborak dalam gerabak yang bukan dari kelas satu. Bunyi bising dan kocakan koc menyukarkan aktiviti berborak kami.

Gua gemar mendengar cerita pakcik tua tu, penuh keyakinan. Bercerita hal ehwal emas semasa, pergolakan di Baghdad, kehidupan di Filipina secara terusnya membuat gua yakin bahawa pakcik ni kuat berjalan orangnya. Bagi mengelakkan perbualan memihak kepada pakcik tua sahaja,brader topi pandai memainkan peranan. Peranan gua pula di situ, banyak ke arah mengiyakan dan menidakkan sahaja apa yang mereka tanya.

"Kenapa tidak beli emas bar saja. Bukan kita pakai pun 916" tambah gua kepada pakcik tua tu. "Emas 999 nak buat apa, kahkahkahkahkahkah!" gelak pakcik tua tu kepada gua selama 10 minit. Dan tak semena semena, gua pegang leher pakcik tua tu kemas. Sangat kemas. Muka dan satu badan gua jadi hijau. Pakcik tua mula panik seraya menyerahkan diri sahaja.  Sambil menjerit "huargh" gua terus melemparnya keluar dari gerabak. Itulah kali terakhir kami melihat pakcik tua tu ketawa berdekah dekah.Kemudian, Gua dan berader topi kembali berborak hal emas tadi tanpa segan silu.

Moral: Jangan gelakkan orang sampai 10 minit.





Read Users' Comments ( 3 )

Pulang dari Kolumpo


 Seiring cerita cerita mulut dan media cetak terdahulu,sebagai seorang aktivis sosial masyarakat,kebanyakkan dari mereka menggunakan keretapi sebagai jalan mudah dari satu matlamat ke matlamat lain. Begitu juga gua. Cuma gua ni bukan sekadar aktivis sosial malahan juga rokes kapak yang ulung.   

Perjalanan pulang gua ke utara tanah air tidaklah sesukar seperti dibayangkan. Tidak ada aksi aksi menentang rasaksa jahat, tembak menembak, mahupun penyeludupan senjata api seperti filem holiwud. Hanya sekadar membeli tiket lantas menunggu ketibaan keretapi. Senyum manis dari makwe menjual tiket keretapi pula meringankan lagi beban beg yang dipikul. Sempat juga gua berborak seminit dua bertanya nama pesbuk makwe tu,.   

Gaya keretapi baru saja meninggalkan kota Kolumpo,gua dihampiri dua berader. Atas bawah gua perati berader berdua ni. Berader ni gua tahu bukan masyarakat marhaen kita. Berbahasa inggeris dan hidung yang bukan main runcing mancungnya meyakinkan gua diorang ni masyarakat dari seberang laut sana.   

Sejam gua berborak, dari subjek suai kenal, bertukar tukar rokok,  memiwit makwe lalu sehingga dah tak ada apa nak borak lagi, suasana jadi sepi seketika . Deruan dari geselen besi besi badan keretapi mengambil alih dialog kami. Selama sejam itu gua menyimpan rasa yang sebenarnya berader berdua tu semacam buat buat faham saja apa gua cakap. Gua dah mula rasa yang gua mengepala banakan diri sendiri. 

Celake bukan?




Read Users' Comments ( 2 )

Rahman ingin kuat



Rahman Muzali mangkit dari tidur. Selesa dengan cara hidup tidur pagi,mangkit tengah hari ,Rahman tidak lagi endah cakap cakap orang ramai yang mengutuknya sebagai guard taman, kaki pewit makwe shift malam, kaki takde rumah. Ada juga yang cuba ambil kesempatan mengutuk Rahman sebagai kaki bercagu. Rahman terima semua tomahan sebagai cabaran menjadi tren remaja semasa,tidur lewat. Rahman sedar hidup penuh dengan cabaran

Rahman mencapai rokok,menyedut dalam dalam dan menghembus ke udara. Ada asap pekat dan ada asap nipis. Bunyi kipas bilik memenuhi suasana sepi rumah. Ibu ayahnya pagi keluar bekerja,adik adik masih di bangku sekolah, membuat Rahman ingin sekali berborak tapi rahman seorang diri. Pernah sekali rahman cuba berborak dengan kucing makwe depan rumah. Tak lama Rahman dapat beborak, selepas tepat dilempar kasut di muka oleh mak makwe tu,Rahman bangkit lari. Namun cukuplah bagi Rahman,dapat juga berborak dengan makhluk real. Lebih wajar dari berborak dengan makwe yang entah betul makwe entah tidak di pesbuk dia.

Rahman mematikan bara rokok dalam cawan. Mati Rahman kalau mak dia tahu cawan Arcopal yang mak dia beli di Langkawi dibuatnya astray rokok. Lantas Rahman menuju ke cermin sebelum sempat membuka pintu bilik. "Aku bukan lagi Rahman yang dulu" bisik beliau sambil tangan meraba muka.

Rahman betul betul mati akal,mati lesen kereta,lesen SSM dan segala lesen lagi semenjak Rahman cuba join scene tidur lewat ni. Tiada siapa yang mampu memahami apa yang Rahman mahu. Makwe depan rumah, mamak di pekan, kutu lepak malam Rahman, makwe kerja jusco, makwe seven eleven semua tidak mampu membantu Rahman. Rahman kesunyian. Rahman seolah seketul tahi di dalam mangkuk,seorang diri ditinggal si pembuang tahi,menunggu masa di flush sahaja. Itulah Rahman jika dipendek ceritanya.

Rahman tidak mahu menjadi tahi. Rahman tahu tahi itu busuk dan Rahman wangi. Rahman berpelajaran. Rahman masih ada cita cita dan tahi mana ada cita cita. Bukan Rahman tidak ingin berjaya, tapi Rahman juga ada cara sendiri untuk berjaya. " Mereka yang berjaya dengan acuan orang lain adalah mereka yang kuat politik, kuat belakon dan takut hantu" kata Rahman satu ketika dulu kepada Paul Hassan.

Berpegang kepada prinsip hidup mesti ada kawan dan manusia bukan daripada haiwan seperti teori Darwin, Rahman cepat mencapai telefon bimbit dia.

"Oit Dol, ko kat mane? Aku nak turun Kolumpo ni."



Read Users' Comments ( 0 )

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...